Author: firdausali

Bercakap Bahasa Yang Sama Dalam Rundingan

Berdasarkan pemerhatian saya, salah satu rahsia komunikasi yang efektif adalah ‘speaking the same language with your partner’.

Pelbagai proses rundingan (negotiation) berjaya kerana individu yang berada di meja rundingan telah membuat ‘homework’ mengenai dengan siapa mereka berbicara.

Cara berinteraksi dengan orang yang lebih tua, berbeza dengan cara berinteraksi dengan orang yang lebih muda.

Cara berinteraksi dengan masyarakat Melayu, berbeza dengan cara berinteraksi dengan masyarakat Cina.

Menurut Prof Khoo Kay Kim, British menyifatkan orang Melayu sebagai ‘the nature’s true gentlemen’ atau dalam bahasa Melayunya, insan yang secara semulajadinya budiman.

Maka, kebanyakan insiden-insiden yang melibatkan British di tanah ini berjalan secara rundingan, bukan melalui kekerasan. Mereka buat ‘homework’ di kawasan sasaran, faham latar dan budaya masyarakat dan rancang usaha tertentu secara halus.

Namun, sehingga tahap tertentu, apabila berlakunya kejadian ‘lebih sudu dari kuah’ di pihak British, beberapa episod yang membawa kepada peperangan besar berlaku (Dol Said di Naning, Mat Kilau di Pahang dll – al-Fatihah buat mereka).

Kita hanya boleh ‘speak the same language’ atau bercakap bahasa yang sama apabila kita benar-benar faham realiti individu yang kita bercakap dengannya. Dari situ kita cara titik persefahaman yang mampu menjadikan proses rundingan berjaya.

Tl;dr – kena buat ‘homework’ sebelum memulakan apa-apa rundingan.

Tidak terlalu lewat untuk saya ucapkan Selamat Hari Malaysia.

Semoga negara kita kekal merdeka, berdaulat, aman dan sentosa.

3 Pengajaran dari Ucapan Steve Jobs di Stanford

1 jam lagi Apple akan lancarkan produk baharu. Saya cari ucapan Steve Jobs di Stanford suatu ketika dulu. Pernah baca rakan-rakan bisnes recommend, jadi saya ambil peluang untuk tonton video ni beberapa hari lepas.

Dalam ucapan ni, beliau bawakan 3 kisah. Semuanya penuh dgn pengajaran. Meh saya cerita.

Cerita pertama adalah mengenai menyambung titik-titik, atau ‘connecting the dots’.

Sebelum Jobs lahir, mak sebenar Jobs (biological mother) nak supaya anaknya dipelihara oleh ibu bapa yang berpendidikan tinggi.

It turns out ibu angkatnya tak bergraduan dari kolej, manakala ayah angkatnya tak bergraduan dari sekolah menengah pun.

Mak sebenar Jobs tak nak sign adoption form, sehinggalah ibubapa angkatnya berjanji untuk hantar Jobs ke kolej (untuk dapatkan pendidikan tinggi).

Fast forward, 17 tahun kemudian, Jobs masuk ke kolej.

Mak ayah angkatnya merupakan proletariat – golongan pekerja yang berpendapatan sederhana.

Jadi, seluruh simpanan mereka ditumpukan untuk mendanakan perbelanjaan Jobs di kolej.

Selepas 6 bulan belajar, Jobs tak jumpa ma’na belajar tu. Jobs takda idea mengenai apa yang perlu dia buat dengan kehidupan.

Maka, dia pilih untuk drop-out dari kolej. Dia ingat semuanya akan jadi OK selepas drop-out.

Tidur di lantai bilik rakan. Tukarkan coke dengan syiling 5 sen. Berjalan jauh dapatkan decent food sekali seminggu di rumah ibadat.

Reed College yang beliau drop out tu adalah tempat belajar kaligrafi terbaik dekat US. Beliau manfaatkan masa yang ada untuk belajar jenis-jenis tulisan – serif, sans serif, kombinasi perkataan dan banyak lagi.

Dia tak pernah bayang belajar kaligrafi boleh aplikasikan dalam kehidupan. Tetapi, 10 tahun kemudian bila dia dan rakannya buat Macintosh, ilmu yang dipelajarinya itu dimanfaatkan dalam pembuatan Mac.

Mac menjadi komputer pertama yang ada seni tipografi yang kemas dan menarik, sehingga ditiru WIndows.

Jobs sebut, kita takkan boleh menyambungkan titik (connecting the dots) bila kita melihat ke hadapan.

Tetapi, kita boleh connect the dots dengan melihat semula ke belakang.

Oleh itu, percayailah titik-titik yang akan bersambung pada masa depan kita. Kepercayaan bahawa setiap usaha walaupun kecil, ada sumbangannya dalam menatijahkan hasil yang baik sangat penting supaya kita kekal optimis.

Cerita kedua adalah mengenai cinta dan kehilangan.

10 tahun Jobs bersama Wozniak, bangunkan Apple dari garaj ibubapanya. Mereka bekerja keras, sehingga dinilaikan 2 bilion USD dengan 4,000 pekerja.

Ketika masuk usia 30, beliau dipecat dari syarikatnya.

Mungkin ramai yang tertanya, macamana Jobs boleh dipecat dari syarikat sendiri?

Begini, semakin Apple berkembang, Jobs melantik seorang yang sangat berbakat untuk bangunkan syarikat bersama beliau.

Namun sampai satu detik, plan mereka untuk masa depan berubah, dan mereka berselisih. Kemuncaknya bila Lembaga Pengarah menyebelahi orang itu, dan Jobs secara rasmi dipecat dari Apple.

Jobs rasa ‘down’. Ya, siapa tak down kena buang dari syarikat yang dibina sendiri kan.

Tapi Jobs sedar, dia cinta apa yang dia buat, dan berbaloi pada beliau untuk bermula semula dari ‘scratch’. Beliau merasakan dibuang dari Apple merupakan perkara terbaik yang pernah beliau alami dalam hidup.

“The heaviness of being successful was replaced by the lightness of being a beginner again”, tambah Jobs lagi.

Sepanjang 5 tahun seterusnya, beliau mulakan sebuah syarikat yang dinamakan NeXT, dan sebuah lagi dinamakan Pixar.

Lebih besar, beliau jatuh cinta dengan wanita hebat yang akhirnya menjadi isterinya.

Pixar kini menjadi studio animasi yang paling berjaya di dunia, menghasilkan pelbagai animasi hebat. To name a few, Toy Story, Inside Out, Finding Nemo, kesemuanya hasil keluaran Pixar.

NeXT pula dibeli Apple, dan teknologi yang dibangunkan di NeXT menjadi sebab kepada kebangkitan Apple hari ini.

Dan, beliau dan Laurene (isterinya) membina keluarga bahagia bersama.

Pada Jobs, semua ini tak akan berlaku sekiranya beliau tidak dibuang dari Apple. Pengalaman ini beliau sifatkan sebagai ‘awful tasting medicine’ – ubat yang pahit untuk ditelan, tetapi pesakitnya sangat memerlukan.

Kerja yang kita buat, akan memenuhi sebahagian besar hidup kita. Satu cara untuk kita bahagia adalah dengan mempercayai bahawa apa yang kita buat, adalah kerja yang hebat. Dan satu-satunya cara untuk buat kerja yang hebat, adalah dengan mencintai apa yang kita lakukan.

Kalau kita masih belum jumpa minat kita, teruskan mencari. Jangan berhenti.

Dan, seperti hubungan (relationship) yang hebat, apabila tahun bersilih ganti, perjalanan kita akan menjadi lebih baik. It takes time. So keep looking. Don’t settle.

Kisah ketiga adalah mengenai kematian.

Di usia 17, Jobs terbaca satu petikan yang berbunyi,

“If you live each day as if it was your last,

someday you’ll most certainly be right.”

Petikan ni mengubah cara Jobs melihat kehidupan. Setiap hari beliau lihat cermin, dan bertanya pada dirinya, “If today were the last day of my life, would I want to do what I am about to do today?

Apabila jawapannya menjadi “No” untuk masa yang lama, beliau tahu ada perkara yang perlu berubah.

Menyedari bahawa kematian akan datang bila-bila masa telah membantu Jobs membuat pelbagai pilihan yang besar dalam hidup, sebab hampir kesemua harapan, kebanggaan, keinginan, ketakutan kerana dimalukan atau gagal, semuanya akan berlalu pergi bila datangnya kematian.

Kesedaran terhadap kematian adalah cara terbaik untuk elakkan kita terperangkap dalam pemikiran bahawa ‘we have something to lose’ – membawa kita kepada ‘we have nothing to lose’.

Pada tahun 2007, Jobs didiagnosis dengan barah (kanser), dimana terdapat ketumbuhan pada pankreasnya.

Jangkaan hidupnya hanya tinggal beberapa bulan sahaja. Doktor minta Jobs balik rumah, beritahu keluarga segala apa yang Jobs nak diorang tahu.

Namun setelah berhadapan dengan pembedahan, Jobs dimaklumkan bahawa dia menghidap barah pankreas yang boleh dirawat. Sebuah keadaan yang sangat jarang berlaku. Keadaan ini sangat hampir dengan kematian, namun beliau bersyukur kerana berjaya menghadapinya.

Jobs akhiri ucapannya di Stanford, dengan membuat beberapa pernyataan.

1. Masa kita terhad, jangan kita bazirkan dalam kehidupan orang lain.


2. Jangan terperangkap dengan dogma di mana kita kena hidup dengan keputusan yang orang lain lakukan.


3. Jangan izinkan kehingaran dan hiruk pikuk pandangan orang lain menenggelamkan tujahan nurani kita.


4. Paling penting, perlu berani untuk mengikuti gerak hati kita.

Di akhir ucapan beliau, Jobs sebutkan “stay hungry, stay foolish”.


Sentiasa jadikan diri kita orang yang lapar dan dahagakan ilmu baharu.

Saya teringat dalam sebuah event beberapa tahun lepas, salah seorang pembicara sebut mengenai perlunya kita hadirkan diri sebagai gelas kosong ketika menuntut ilmu.

Gelas kosong yang tidak meninggi diri terhadap ilmu yang dipelajari, bahkan berupaya menyerap pengetahuan baharu secara berterusan.

Karamat insaniyah – kemuliaan insan

Karamat insaniyah (kemuliaan insan).

Sedikit coretan malam. Pertama kali saya dengar kalimat ini adalah dari syarahan Almarhum Dr Siddiq Fadzil yang diadakan di UKM tahun lepas.

Ini sangat berkait rapat dengan melayan manusia dengan bermaruah (treating the others with dignity).

Pada saya ini adalah satu konsep yang sangat besar dalam pengurusan organisasi. Setiap pemimpin perlu cakna bahawa setiap insan di bawah tanggungannya hadir dengan kemuliaan. Dan pengiktirafan ini bukan hadir dari insan lain (peer-review), tetapi dari Tuhan sekalian alam.

Dengan kesedaran ini, barulah hadir logika disebalik keperluan dignified salary (gaji yang bermaruah), tempat kerja yang selamat untuk semua dan pelbagai lagi penyelesaian terhadap masalah di tempat kerja.

Asas kepada karamah insaniyah adalah firman Allah ta’ala dalam surah al-Isra’ ayat 80 – Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.

Maka, insan perlu dilihat dari konteks yang lebih besar, bukan sekadar ‘sumber manusia’. Potensinya perlu digilap, pertumbuhannya perlu diperhatikan, kemampuannya perlu diperkasakan.

Bicara KRI – Perumahan dan Pandemik

Beberapa dapatan menarik dari Bicara Khazanah Research Institute – Perumahan dan Pandemik pagi ini.

– Polisi perumahan kita banyak mencakupi kemampuan, tetapi tidak menyantuni komponen kecukupan dan kesesuaian.

– Tidak ada definisi yang spesifik bagi menentukan perumahan berkualiti buat rakyat Malaysia. Standard perumahan yang dibina di pasaran bebas juga berbeza dengan perumahan rakyat yang dibina oleh kerajaan.

– Piawaian perumahan ini kadangkala terjerumus kepada ‘cost-cutting exercise’, bukan bagi mempertingkatkan kesejahteraan penghuni.

Dalam masa yang sama, perumahan yang tidak terjual kekal bertambah. Johor, Penang & Selangor top the chart.

Dr Suraya, Pengarah Penyelidikan KRI menambah, tidak ada guna kita ada integrated database tetapi tidak digunakan sebagai decision making tool. Ini dapat dilihat melalui kesenjangan di antara harga rumah dan median pendapatan penduduk setempat.

Kalau kita lihat tempoh keberhutangan individu, ianya menjadi kian berpanjangan pasca 2010. Sejak 2010 hingga sekarang, tempoh pinjaman mengambil masa 35 tahun untuk diselesaikan.

3 sebab mengapa rumah tidak terjual

1) Rumah berharga rendah sehingga sederhana; harga yang diletak lebih tinggi dan tak selari dengan pendapatan isi rumah, berkepadatan tinggi & jauh dari pusat bandar

2) Rumah berharga sederhana & tinggi; budaya Sell-then-Build menggalakkan pembinaan produk melebihi supply & demand.

3) Permintaan dalam pasaran tak mencerminkan gerakan dalam tangga harta tanah

Ada beberapa solusi yang dicadangkan oleh Khazanah Research Institute berkenaan isu ini;

1) Isu kepadatan, saiz rumah yang kecil dan trend WFH perlu diselesaikan secara lestari, di mana kesejahteraan penghuni perlu diambil kira melalui continuous evaluation & improvement. Dr Suraya bawa contoh di Norway, di mana tujuan rumah adalah ‘delighting the customer’.

2) KRI menekankan kepentingan melindungi golongan ‘sandwich’. Di kala pandemik, golongan ‘sandwich’ ini tidak ada ‘secured tenancy’ sama ada dengan kaedah penyewaan atau pemilikan.

3) Perumahan awam/kos rendah perlu dipelihara secara lestari bagi mengelakkan risiko kesihatan awam.

4) Perlu hentikan trend pemberian pakej pembiayaan perumahan dengan ansuran bulanan yang murah tetapi tempoh hutangnya lama.

5) Menghentikan mismatch of supply and demand. Feasibility studies must be seriously made.

Di penghujung wacana ini, KRI ditanya mengenai apakah saiz standard GFA (Gross Floor Area) yang terbaik. Greg menyebut bahawa tak ada one size fits all punya standard untuk perumahan. Tapi, terdapat keperluan untuk buat nationwide survey, adakah masyarakat tinggal dalam rumah yang sesuai dengan keperluan mereka. Ia boleh muncul dalam beberapa dimensi, seperti – adakah dining space cukup besar untuk keluarga; adakah perumahan yang didiami memenuhi gaya hidup dan budaya setempat. Di sini baru kita dapat figure out solusi bagi ‘standard’ yang kita perlukan.

Terima kasih panel penyelidik KRI atas dapatan ini. Satu usaha yang baik membawakan wacana ekonomi tempatan dalam bahasa ibunda. Ini nota peribadi saya, dan jika ada pembetulan mohon maklumkan.

Syarahan Tan Sri Wan Zulkiflee mengenai kepimpinan

Pagi tadi saya berkesempatan menyertai syarahan Tan Sri Wan Zulkiflee bin Wan Ariffin, mantan CEO Petronas dan non-American pertama yang menyertai Lembaga Pengarah ExxonMobil di US. 

Ini adalah key takeaways dari syarahan beliau;

Mengenai kepimpinan

– Antara strategi dan budaya (culture) syarikat, budaya mainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan dan perkembangan syarikat;

– Pengalaman beliau di PETRONAS : Ramai staf yang high performing, highly-opinionated. If you don’t tune them right, they’ll be out of order. Jadi, memang sangat penting untuk improve culture.

– Hire right people on the team. Walaupun kawan, tapi kalau tidak bersesuaian dengan keperluan tugas, jangan lantik di posisi berkenaan.

– Makin tinggi kita pergi dalam organisasi, makin banyak grey area kita jumpa kerana we possess much more information. Beware of red lines bila berhadapan dengan ambiguity.

– Dari perspektif perniagaan, ada dua jenis pemimpin. Pemimpin berdasarkan ‘task’ (task-oriented leader) dan enterprise leader.

– Pada hemat beliau, tanggungjawab seorang enterprise leader adalah bagi mencipta suasana agar pekerja mampu melaksanakan tugas dengan baik.

– Dalam era pasca-pandemik, ada kemahiran kepimpinan baharu yang perlu dikuasai oleh pemimpin.

– Pada beliau, kualiti yang perlu ada pada pemimpin adalah (i) mental toughness yang menjurus kepada clarity of thoughts, (ii) ability to tweak along the leadership journey dan (iii) human interaction skills. 

– Sewaktu jadi CEO Petronas, Tan Sri ada in-house organisational psychologist yang menasihati beliau aspek (iii).

“Many leaders are like swans. Above water they look very confident and composed. Beneath water their feet are flapping for them to survive”

Mengenai perubahan iklim

– Berkenaan perubahan iklim yang hangat dibincangkan, Tan Sri sebutkan bahawa ini tidak dapat dipisahkan dengan “energy trilemma” – keselamatan tenaga, kesaksamaan tenaga dan kelestarian alam sekitar.

– Tan Sri Wan Zulkiflee menyeru agar kita membezakan retorik dan realiti – dimana tiada strategi yang jelas oleh dunia untuk menangani krisis prubahan iklim ini.

– Perjanjian iklim Paris menetapkan sasaran agar dunia mengehadkan peningkatan suhu purata global di bawah 2°C atas tahap pra-industri, dan meneruskan usaha untuk mengehadkan peningkatan suhu pada 1.5°C.

– Kepadatan bumi pada 2050 adalah 9.8 bilion, dan saiz ekonomi global membesar ke 2 kali ganda. Tetapi untuk capai sasaran di atas, kita kena guna kurang 8% tenaga daripada hari ini. Tampak sukar bukan? Only time will tell either we managed to achieve the target or not.

Nota tambahan – kegagalan kita capai sasaran berkenaan akan menyebabkan tenggelamnya beberapa bandar di dunia.

Setelah beliau meninggalkan Petronas, Kerajaan telah melantik beliau sebagai Pengerusi Malaysia Airlines Berhad. Sedikit perkongsian beliau mengenai MAB.

– Sektor pelancongan terjejas teruk ekoran pandemik. Namun di kala wabak ini merebak, MASKargo telah menunjukkan prestasi yang baik.

– Sebagai syarikat penerbangan kebangsaan, selain national flag bearer, MAB juga menjalankan khidmat buat watan dengan menjadi medium perhubungan di kawasan terpencil di Borneo.

Terima kasih Tan Sri for this invaluable corporate insights. Jzkk juga penganjur Ikram/Mubin. 

Falasi beban kebenaran

Burden of truth” atau beban kebenaran ini dilihat berbeda mengikut platform yang digunakan oleh seseorang individu. Masyarakat Malaysia sebenarnya polarised, atau berpecah mengikut platform – dan menghalang ramai orang membuat pertimbangan secara adil terhadap isu-isu yang sedang berlaku.

Sebagai contoh, di Twitter, disebabkan rapid information transfer, ramai merasakan mereka mempunyai first-hand information dalam pegangan mereka, walaupun belum ditentukan lagi sama ada maklumat berkenaan benar ataupun salah. Manakala di Facebook, Instagram dan TikTok, sentimen sangat memainkan peranan. Penulisan yang mendayu-dayu dan background music yang sendu akan mendatangkan reach yang sangat tinggi.

Dalam masa yang sama, di mana-mana platform sekalipun, fenomena troll amat memainkan peranan dalam menghasilkan reach yang tinggi. Ini kerana budaya troll ini diibaratkan sebagai penyakit berjangkit yang mampu menyebarluas konten atau provokasi yang diinginkan tanpa sempadan. Penzahiran rasa sebegini dilihat seiring dengan zaman, lebih moden, dan mereka yang menjuarai troll akan menjuarai opini awam.

Polarisasi juga kian meluas akibat superiority complex terserlah dalam kalangan mereka yang merasakan platform yang mereka duduki lebih baik dari platform lain. Ini membawa kepada short-sighted conclusion bahawa the information that I’m receiving in this platform is much truer than the other one.

Manakala, key opinion leader yang diterjemah melalui mereka yang mempunyai ramai bilangan pengikut dalam media sosial berkenaan memainkan peranan besar dalam mempengaruhi pandangan masyarakat terhadap isu besar. Jangan kita menjadi pengikut yang merosakkan – menilai maklumat berdasarkan bilangan sebaran berbanding ketulenan maklumat.

Hal ini mengingatkan saya kepada firman Allah ta’ala dalam surah al-An’aam ayat 116, di mana Allah menyebut,

6_116

Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. (6:116)

Juga kewajipan tabayyun yang dizahirkan dalam al-Hujurat ayat 6,

49_6

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Semoga Allah ta’ala melindungi negara ini dari kerosakan. Sama-sama kita doakan agar negara ini terus diberkati ahlinya, kekayaannya, kemuliaannya dan yang paling penting keimanan warganya. Amin ya rabb.

Ingin berbincang mengenai peluang kerjasama, pembangunan laman web dan perkongsian?

© Muhamad Firdaus Ali.