Karamat insaniyah (kemuliaan insan).
Sedikit coretan malam. Pertama kali saya dengar kalimat ini adalah dari syarahan Almarhum Dr Siddiq Fadzil yang diadakan di UKM tahun lepas.
Ini sangat berkait rapat dengan melayan manusia dengan bermaruah (treating the others with dignity).
Pada saya ini adalah satu konsep yang sangat besar dalam pengurusan organisasi. Setiap pemimpin perlu cakna bahawa setiap insan di bawah tanggungannya hadir dengan kemuliaan. Dan pengiktirafan ini bukan hadir dari insan lain (peer-review), tetapi dari Tuhan sekalian alam.
Dengan kesedaran ini, barulah hadir logika disebalik keperluan dignified salary (gaji yang bermaruah), tempat kerja yang selamat untuk semua dan pelbagai lagi penyelesaian terhadap masalah di tempat kerja.
Asas kepada karamah insaniyah adalah firman Allah ta’ala dalam surah al-Isra’ ayat 80 – Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.
Maka, insan perlu dilihat dari konteks yang lebih besar, bukan sekadar ‘sumber manusia’. Potensinya perlu digilap, pertumbuhannya perlu diperhatikan, kemampuannya perlu diperkasakan.