Lawatan TYT Abe, Mantan PM Jepun Perbaharui Hubungan Akrab Malaysia-Jepun

Tuan Yang Terutama Encik Shinzo Abe, mantan Perdana Menteri Jepun telah menyampaikan syarahan perdana di UIAM bersempena dengan Majlis Konvokesyen UIA pada 12 Mac 2022.

Dalam syarahan berkenaan, TYT Abe telah mengenang hubungan rapat kedua-dua negara — yakni Malaysia dan Jepun melalui keluarganya, di mana datuknya mendiang Kishi Nobusuke (PM Jepun 1957-1960) merupakan pemimpin luar pertama menziarahi PM Tunku Abdul Rahman setelah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Manakala ayah beliau, mendiang Abe Shintaro merupakan Menteri Luar Jepun di kala Malaysia memulakan Dasar Pandang ke Timur (DPT) pada tahun 1982. Encik Abe sendiri telah melawat Malaysia pada tahun 2007, ketika menjawat jawatan PM buat kali pertama. 

Dalam siri lawatan beliau pada 2007, TYT Abe telah membuat kenyataan bersama PM Abdullah dalam rangka memperkasa DPT setelah 50 tahun hubungan Malaysia-Jepun sejak 1957. Kenyataan berkenaan bertajuk “Everlasting friendship, far-reaching partnership – towards a common future”.

Syarahan Perdana TYT Abe ini membawa penekanan terhadap sejarah DPT, yang dimulakan pada 1982. Pada Disember 1981, PM Dr Mahathir telah mengumpulkan Duta Besar Malaysia dari seluruh dunia, dan menyebutkan kepada mereka, “let’s look East.”

Sesuai dengan hasrat itu, DPT telah dimulakan pada 1982, dengan tujuan menghantar pelajar-pelajar Malaysia ke Jepun bagi melanjutkan pelajaran, serta menjalinkan hubungan akrab bagi tujuan perkongsian etika kerja, moral dan pertukaran teknologi.

Sehingga hari ini, sekurang-kurangnya 26,000 rakyat Malaysia telah mendapat manfaat melalui pertukaran pendidikan Malaysia-Jepun.

TYT Abe juga mengenang pemergian Allahyarham Razak-sensei, ayahanda kepada Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak. Razak-sensei merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang terselamat sewaktu pengeboman di Hiroshima pada tahun 1945, sewaktu beliau melanjutkan pengajian di sana.

Alumnus Universiti Hiroshima, Razak-sensei, telah diberi mandat untuk mengepalai inisiatif pendidikan Dasar Pandang ke Timur oleh mantan PM Dr Mahathir, dan dilantik sebagai Koordinator DPT di Pusat Persediaan Pelajar, ITM (kini INTEC MARA).

Dalam majlis berasingan, TYT Encik Abe telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Politik Ekonomi) dari UIAM, oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah.

Lawatan Abe juga membawa mesej bahawa keutuhan kerajaan membawa kepada kesejahteraan dan kemakmuran – serta kebaikan antara kedua-dua buah negara.

SIMBOL KEAKRABAN KEDUA-DUA NEGARA 

Sehingga hari ini, seramai lebih 20,000 rakyat Malaysia telah mendapat manfaat daripada DPT bagi melanjutkan pelajaran di Jepun — sama ada sebagai pelatih industri atau pelajar Universiti.

Pada tahun 2012, Malaysia telah meraikan ulang tahun ke-30 DPT. Selari dengan pembaharuan hubungan karib Malaysia-Jepun, Dasar Pandang ke-Timur 2.0 telah diumumkan. Atas permintaan mantan PM Najib, Jepun telah menerima pelatih dari Malaysia dalam bidang agroteknologi, pengurusan risiko, alam sekitar, industri kreatif, pengurusan organisasi dan kepimpinan.

Peningkatan individu yang mampu berbahasa Jepun dan nilai Jepun melalui latihan di Jepun telah memacu banyak pelaburan asing (FDI) dari Jepun.

Dek kerana letupan rektor nuklear di Fukushima pada Mac 2011, Jepun mula menukar kebergantungan bahan api dari tenaga nuklear kepada tenaga alternatif lain. Memandangkan Jepun menghadapi kekurangan gas asli cecair (LNG) pada ketika itu, Petronas telah menawarkan LNG yang dihasilkan di Bintulu dengan kontrak 4.8 juta tan/tahun kepada TEPCO, operator stesen janakuasa yang terkesan di Fukushima. (Energy Intel, Mar 2011)

Encik Abe juga menzahirkan keyakinan terhadap prospek ekonomi Malaysia dengan pembangunan beberapa projek berprestasi tinggi di Kuala Lumpur. Untuk rekod, firma Jepun dan Korea masing-masing telah terlibat dalam pembangunan Menara Berkembar Petronas yang bermula pada tahun 1993.

2 tahun kebelakangan ini, Jepun dikritik hebat oleh dunia kerana tidak menerima masuk warga luar sebagai dasar pencegahan COVID-19. Namun, atas dasar persahabatan dan komitmen terhadap Dasar Pandang ke Timur, pemegang taruh dalam kalangan pembuat dasar & sektor swasta di Jepun telah bekerja keras bagi membenarkan kemasukan pelajar Malaysia seramai 375 orang ke negara Matahari Terbit ini.

MASA DEPAN KERJASAMA MALAYSIA-JEPUN

TYT Abe mengutarakan pandangan beliau mengenai peranan pendidikan dalam mencorakkan masa depan setiap negara dalam dunia.

Menurutnya, usaha Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) dalam membawa pendidikan kejuruteraan kaedah Jepun di Malaysia, dan penubuhan Universiti Tsukuba kampus Malaysia kelak akan membangunkan sumber manusia yang akan mencorakkan masa depan Malaysia yang berasaskan pengetahuan dan pertukaran budaya melalui persefahaman antara kedua-dua negara — dengan semangat sama yang dipikul penubuhan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Universiti Tsukuba akan menjadi universiti awam pertama di Jepun yang membuka cawangan kampusnya di luar negara.

Beliau sangat berharap agar kelak MJIIT dan Universiti Tsukuba dapat menjadi pelopor dalam meraikan kepelbagaian dalam menjuarai pendidikan berteraskan budaya Jepun di Malaysia.

Selain cabaran pendidikan, dunia kini berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuklah COVID-19 dan perubahan iklim. TYT Abe juga menggariskan beberapa perspektif yang sedang disantuni dalam meluaskan horizon kerjasama kedua-dua negara.

Dalam usaha pencegahan COVID-19, Jepun telah menyediakan vaksin, membangunkan rantaian sejuk beku dan menawarkan peralatan perubatan kepada Malaysia. TYT Abe menzahirkan hasrat agar kedua-dua negara dapat membina ekonomi yang berdaya tahan, bersama-sama.

Kerjasama dalam membina ekonomi yang berdaya tahan ini telah diperlihat melalui pembinaan pusat data baharu NTT di Cyberjaya. Pusat data ini menjadi hab strategik kepada kabel bawah laut yang dioperasikan oleh NTT, seperti sistem kabel Myanmar/Malaysia India Singapore Transit (MIST) sepanjang 8,100km.

Manakala, demi mencapai aspirasi bersama bagi mengurangkan penggunaan karbon, Eneos dan Petronas telah menandatangani perjanjian bagi membangunkan rantaian bekalan hidrogen bebas karbon. Petronas telah menyasarkan untuk mencapai Masa Depan Sifar Karbon pada tahun 2050, manakala Eneos telah menyasarkan untuk mencapai Visi Alam Sekitar mereka pada tahun 2040. Kejayaan kerjasama ini juga nanti akan memberikan kelebihan kepada Petronas, dalam menambah portfolio tenaga boleh diperbaharui mereka.

IHI Corp, Tenaga Nasional juga akan bekerjasama dalam mengkaji teknologi ‘co-firing’ ammonia bagi menghasilkan ‘green hydrogen’ dan ‘blue hydrogen’. Tenaga Nasional (TNB Genco) dalam sebuah kenyataan menyebut bahawa penggunaan ammonia dapat mengurangkan penjanaan karbon oleh TNB sehingga 50% pada tahun 2035.

Kepercayaan anggota G8 seperti Jepun terhadap Malaysia adalah perkara yang kita amat banggakan. Ini semua tidak akan dapat tercapai tanpa kerja-kerja rundingan di sebalik tabir yang dilaksanakan oleh para diplomat dan diaspora kita. Kepercayaan hadir dengan kualiti kerja yang cemerlang — yang dibuktikan oleh ramai diaspora kita di luar. 

Di saat negara kita berada di persimpangan, keyakinan negara luar terhadap kemampuan kita adalah suatu aset supaya kita dapat terus memacu ke hadapan — mencapai visi bersama sebagai warga Malaysia — bagi membina negara bangsa yang mempunyai modal insian berkualiti tinggi, tanpa meminggirkan budaya Timur yang mekar subur dalam jiwa masyarakatnya.

Terbang tinggi, Malaysia!

Gambar : IIUM/The Malay Mail/Wikipedia/TIME

Cara Mendaftar Undi Pos Buat Pengundi PRN Johor

  • Muhamad Firdaus Ali

Susulan pembubaran Dewan Negeri Johor pada 22 Januari 2022, Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengisytiharkan bahawa 12 Mac 2022 sebagai tarikh Piihan Raya Negeri Johor.

Pilihanraya kali ini dilihat berbeza dengan pilihanraya sebelumnya, kerana Rang Undang-undang (Pindaan) 2019 telahpun digazetkan di dalam Warta Kerajaan, yang membawa kepada 2 kesan besar iaitu;

  • penurunan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, dan;
  • mendaftarkan warganegara sebagai pengundi secara automatik sejurus mereka mencapai umur 18 tahun.

Mendaftar Akaun Pengguna di Portal Suruhanjaya Pilihan Raya

  • 1. Cipta akaun baharu di Portal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

    Klik Sini

  • 2. Klik butang “Permohonan Akaun Baharu”

  • 3. Isikan maklumat peribadi anda seperti yang dipinta.

  • 4. Muat naik muka hadapan MyKad anda dan swafoto anda bersama MyKad.

  • 5. Masukkan kata laluan CAPTCHA dan hantar!

Setelah permohonan akaun pengguna anda diluluskan, anda akan menerima e-mel kelulusan dari Suruhanjaya Pilihan Raya yang tertulis,

Tuan/Puan,

Dimaklumkan bahawa Permohonan Akaun Pengguna tuan/puan TELAH DILULUSKAN

Untuk mendaftar sebagai pengundi pos, anda perlu log masuk dengan menggunakan No. MyKad dan kata laluan yang didaftarkan sebelum ini.

  • 2. Aktifkan akaun (hanya untuk pengguna kali pertama)

    Untuk pengguna kali pertama, no. TAC akan dihantar ke e-mel dan no. telefon anda. Anda boleh menyemak emel atau SMS yang diterima bagi mendapatkan no. TAC. Ini adalah ciri keselamatan bagi mengelakkan akses oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

  • 3. Masukkan maklumat yang diperlukan.

    Di sini, anda perlu masukkan beberapa maklumat penting seperti No. Pasport, negara tempat tinggal, alamat di negara luar dan nombor telefon baharu.

    Anda juga dikehendaki memasukkan sebab tinggal di luar negara. Saya letakkan belajar di negara Jepun, misalnya.

    Ini penting supaya kertas undi pos dapat dihantar kepada anda.

  • 4. Hantar dan simpan borang permohonan berkenaan.

    Selepas langkah ini, anda akan berada dalam status Menunggu Kelulusan dari pihak Suruhanjaya Pilihan Raya.

Continue reading

Ingin berbincang mengenai peluang kerjasama, pembangunan laman web dan perkongsian?

© Muhamad Firdaus Ali.