Tag: kematian

Cukuplah kematian sebagai peringatan

Setiap kali saya dikejutkan dengan berita kematian, sepotong ayat al-Quran ini terngiang-ngiang dalam fikiran saya,

Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah “Sakaratulmaut” membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): “Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!”

Surah Qaf, ayat 19

Ayat ini dibaca setelah 3 ayat sebelumnya yang menyatakan bahawa Allah menciptakan manusia, dan Dia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedangkan pengetahuan Allah itu lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.

Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. (17)

Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). (18)

Penerokaan saya dalam web development banyak didasari bantuan, panduan dan rujukan kepada rakan-rakan yang lebih senior. Kebanyakan mereka sudi menjadi rakan saya di Facebook di usia saya 8 hingga 10 tahun. Apabila saya menjadi kian dewasa, mereka juga semakin berusia. Semestinya saya memerhatikan watak, gaya dan perilaku mereka yang lebih berusia dari saya – dahulunya agresif, kini toning down disebabkan oleh faktor usia.

Tiba di usia senior, kecenderungan untuk kita mendapat penyakit yang tidak diingini meningkat. Ini membawa sebahagian daripada kita mulai menjaga makanan, interaksi dan amal. Namun ada perkembangan sepunya (“common development“) yang saya perhatikan berlaku dalam kalangan rakan-rakan yang lebih berusia.

Semakin meningkat usia, fokus rakan-rakan ini mulai berubah kepada apa yang boleh disumbangkan pada ummat, mengelakkan dari disibukkan dengan perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan mereka dan menjauhkan diri dari perkara yang melalaikan. Kata-kata mereka didasari dengan harapan doa daripada orang sekeliling – agar dikurniakan kesihatan dan kebaikan.

Begitulah kitaran yang saya perasan – bersesuaian dengan firman Allah,

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.

Surah al-Ahqaaf, ayat 15

Apabila saya refleksi kembali, sungguh, kita semua akan menemui kematian. Cepat atau lambat – kita semua akan pergi. Membayangkan kedudukan jasad yang terkujur di pembaringan sudah cukup membuatkan kita rasa takut dan berharap akan keampunan Yang Maha Esa. Sekiranya kematian dijadikan sempadan kita di kala ingin bermaksiat terhadap Tuhan Yang Maha Pengasih, sudah semestinya kita akan bersungguh-sungguh mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang menjadi asbab kemurkaanNya.

Mari kita teliti hadith ini,

Bertakwalah kepada Allah di mana pun engkau berada; iringilah perbuatan buruk dengan perbuatan baik, maka kebaikan akan menghapuskan keburukan itu; dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik.

Riwayat Tirmizi

Semoga pemergian kita kelak berada dalam keadaan yang Allah reda. Al-Fatihah untuk Allahyarham Faiez Samsudin.

Ingin berbincang mengenai peluang kerjasama, pembangunan laman web dan perkongsian?

© Muhamad Firdaus Ali.