‘Eating Economics Better’, makan ekonomi dengan lebih baik.

Profesor Ha-Joon Chang menyampaikan ucaptama beliau di KMF

Tahun ini, Profesor Ha-Joon Chang, penulis buku ‘Edible Economics’ telah dijemput menyampaikan ucaptama di Khazanah Megatrends Forum. Sebagai penganut mazhab ‘institutional economics’, beliau banyak mengemukakan pandangan yang disifatkan menongkah arus perdana yang bercorakkan mazhab neoklasik. Dalam siri KMF kali ini, Profesor Ha-Joon berkongsi beberapa sudut pandang berhubung mazhab ekonomi neoklasik, literasi ekonomi dalam ranah awam dan teori ekonomi pembangunan untuk negara-negara membangun.

Melihat sejarah, mazhab neoklasik telah hampir sepenuhnya mendominasi ekonomi di kebanyakan negara di dunia dari tahun 1980. Dominasi mazhab neoklasik ini telah menyempitkan ruang perbahasan umum terhadap bidang ekonomi, dan pandangan umum dipenuhi dengan anggapan bahawa semua orang mementingkan diri mereka sendiri. Ini disebabkan penganut mazhab neoklasik percaya bahawa nilai kesemua benda hendaklah ditentukan oleh pasaran.

Kelemahan mazhab neoklasik mula kelihatan apabila ekonomi hari ini mengabaikan banyak aktiviti yang berlaku di luar pasaran. Contohnya, penjagaan orang tua dan kurang upaya. Ini menjadi semakin parah dikala pandemik; di mana masyarakat melihat pekerja pasar raya, penghantar makanan dan pekerja kesihatan adalah penting untuk menjalani kehidupan sehari-hari. Namun di peringkat pasaran, golongan ini tidak dilihat begitu bernilai kerana dibayar dengan upah yang rendah (kecuali doktor pakar).

Maka disini, Profesor Ha-Joon percaya bahawa kepelbagaian idea ekonomi penting untuk pertumbuhan ekonomi yang sihat. Teori ekonomi tak boleh mainkan peranan sama seperti agama Katolik di zaman pertengahan Eropah — yang bertindak sebagai anutan semata-mata, walaupun ada kalanya membazir dan kurang cekap. Oleh kerana dominasi ekonomi berorientasikan pasaran, hampir semua perkara dijustifikasikan dalam konteks kesan ekonomi, tak kisah sama ada sastera, budaya tradisional ataupun kesihatan. Dan faham ekonomi adalah penting untuk mempengaruhi perubahan dalam pelbagai bidang.

Dalam konteks Malaysia, Profesor Ha-Joon sebut kita capai banyak kejayaan dalam menaik taraf ekonomi kita. Malaysia telah menjadi pengeluar utama produk kelapa sawit yang diproses dan pelbagai peralatan elektronik. Dalam masa yang sama, Petronas telah terkehadapan dalam memimpin arena teknologi penggerudian laut dalam. Kita capai dah banyak, tapi kita tersangkut sekurang-kurangnya pada satu dekad yang lepas paling kurang. Kita kena bergerak ke hadapan.

Ada yang menyebut: kita hanya negara kecil, bagaimana kita nak kalahkan US, China, Germany dan negara-negara maju lain?


Tapi, tanpa kita sedar, Malaysia telah terkehadapan berbanding pelbagai negara untuk berada di kedudukan hari ini. Profesor Ha-Joon percaya bahawa setiap negara akan jadi mahir untuk mengeluarkan sesebuah benda, hanya apabila mereka ada iltizam untuk melakukan sedemikian. Beliau sebut, boleh tak anda berikan apa-apa sebab semulajadi orang Korea Selatan dan Jepun boleh mahir dalam mengeluarkan kereta? Kalau orang Amerika, negara mereka besar, jadi untuk berjalan jauh dalam masa singkat memang kereta sangat penting. Namun Jepun dan Korea?

Kemudian, Profesor Ha-Joon bertanya lagi. Kenapa China dan Korea Selatan mahir dalam pengeluaran semikonduktor? Bukankah bahan mentah semikonduktor adalah pasir — dan semua orang ada pasir. Kalau bahan mentah penting, negara Timur Tengah dah terkehadapan dalam sektor semikonduktor.

Ini membawa kepada kesedaran bahawa benda yang berlaku adalah dengan perancangan (by design). Ia bukan semulajadi. Getah datang dari Amazon, British ambil dari Portugis dan bawa ke Malaysia. Manakala teh diambil oleh British dari China. Kopi pula dibawa ke Amerika Latin melalui penjajahan. Pengajaran terbesar disini adalah, perkara yang kita fikir berlaku secara semulajadi adalah hasil dasar industri orang lain.

Dan beliau timbulkan lagi satu persoalan: kenapa orang-orang dari negara membangun (India dan Malaysia contohnya), boleh menjadi produktif bila kerja di negara membangun. Bukan kerana penerbangan ke New York menawarkan program pembelajaran yang intensif; tetapi mereka bekerja dengan sistem yang lebih baik, teknologi yang lebih baik, serta organisasi yang lebih baik.

Dalam menoktahkan syarahan beliau, Profesor Ha-Joon sebut corak pembeli yang individualistik dalam kerangka ekonomi dominan akan sentiasa fikir tentang individu — tapi yang jauh lebih penting adalah sistemnya. Dan kita tak boleh, faham perkara ini dengan hanya sekadar memahami paradigma yang membina dunia ini. Penyelesaiannya tak akan hadir dari idea-idea asal. Kita kena cari penyelesaian dari perspektif yang berbeza. 

Di Malaysia tempoh hari, ketika ziarah Profesor Dato’ Dr Aziuddin Ahmad, beliau kongsikan petikan dari kata-kata Einstein: “We cannot solve our problems with the same level of thinking that created them”. Saranan Profesor Ha-Joon ini bertepatan dengan apa yang Einstein sebut, tak boleh selesaikan masalah daripada aras pemikiran yang sama yang menciptanya!

Muhamad Firdaus Ali
Fakulti Ekonomi
Shiga University, Jepun

Ingin berbincang mengenai peluang kerjasama, pembangunan laman web dan perkongsian?

© Muhamad Firdaus Ali.