Kategori
August 3, 2022
Jom menyumbang

untuk kelestarian pendidikan ummah bersama Yayasan Pendidikan Hidayah

Kongsi di Media Sosial Anda

Pembentukan Belanjawan : Kisah Malaysia dan Jepun

Oleh Muhamad Firdaus Ali

August 3, 2022

Pentadbiran kerajaan di Jepun selepas perang menggunapakai Sistem 1955, yang mana ia berjalan dari tahun 1955 hingga 1993. Waktu ini, tampuk pemerintahan dipegang oleh Parti Liberal Demokratik (LDP), manakala pembangkang terbesar ialah Parti Sosialis Jepun (JSP).

Setelah tamat Sistem 1955, bermula era baharu pentadbiran awam Jepun yang dipanggil pasca 1955. Pentadbiran awam pasca 1955 bermula apabila penyusunan semula Kementerian dan Agensi pusat pada Januari 2001 oleh PM Yoshiro Mori yang memimpin kerajaan campuran LDP, Parti Konservatif dan Komeito.

PM Yoshiro Mori, mantan PM Jepun (April 2000-April 2001)

Penyusunan semula pentadbiran awam ini bertujuan memperkukuh fungsi Kabinet dalam menentukan halatuju dasar kerajaan. Dalam erti kata lain, Perdana Menteri diberi kuasa yang lebih besar untuk memberi pandangan terhadap corak dasar yang dibentuk Kementerian dan Agensi terbabit. Ini termaktub dalam Undang-undang Kabinet Jepun Fasal 1(2)(2) yang menyatakan bahawa Perdana Menteri berkuasa untuk membuat cadangan ke atas prinsip dasar yang dikemukakan oleh Kabinet.

Kaedah pembangunan belanjawan tahunan juga berubah daripada bottom-up kepada top-down, dengan kewujudan 経済財政諮問会議 (Majlis Ekonomi dan Dasar Fiskal). Ini membawa makna kertas cadangan belanjawan (骨太の方針) akan dibentuk terlebih dahulu oleh Majlis ini, sebelum turun kepada Kementerian Kewangan untuk penilaian dan diangkat semula bagi tujuan kelulusan Kabinet. Majlis ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri, dan disertai oleh Menteri berkaitan dan pakar-pakar dari industri dan agensi.

令和元年10月28日 – Mesyuarat Majlis Ekonomi yang dipengerusikan PM Abe

Di Malaysia, belanjawan akan dibentuk oleh Kementerian Kewangan dengan menggunapakai Rancangan Malaysia yang diterbitkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri. Rancangan Malaysia yang terbit setiap 5 tahun ini bertindak sebagai dasar utama yang menjadi rujukan pembangunan negara. Setiap Kementerian akan merujuk dasar yang disediakan oleh EPU untuk membuat perancangan dan menghasilkan dasar pelaksanaan di peringkat Kementerian dan Agensi masing-masing.

Pembentangan Belanjawan 2021 oleh Yang Berhormat Mulia Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz

Maknanya, pembentukan belanjawan oleh Kementerian Kewangan akan merujuk kepada Rancangan Malaysia yang dihasilkan oleh EPU. Namun, hanya Kementerian Kewangan mempunyai kata putus dari segi peruntukan kewangan, sama ada peruntukan perbelanjaan pembangunan mahupun peruntukan perbelanjaan operasi Kerajaan, bergantung kepada prestasi kewangan negara.

Atas dasar itu, kadangkala saiz projek dikecilkan atau dipanjangkan tempoh pelaksanaannya. Ini kerana rencana pembangunan di Malaysia amat berkait rapat dengan prestasi kewangan; mengambil kira defisit yang dialami oleh negara (RM98.8 bilion pada tahun 2021, 6.53% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar). Sebarang ubahsuai ke atas perancangan pembangunan dan belanjawan hanya boleh dibuat dengan persetujuan Jemaah Menteri. Ini kerana perancangan perlu mempertimbangkan prestasi kewangan negara, dan kaedah pinjaman yang negara boleh perolehi. Sebagai contoh, penerbitan sukuk dan Malaysia Government Securities (MGS). 

Ingin berbincang mengenai peluang kerjasama, pembangunan laman web dan perkongsian?

© Muhamad Firdaus Ali.